11 May 2026

Temujanji Pertama Bariatric: Langkah Pertama yang Mendebarkan

Assalamualaikum.

Hai, lama juga aku sidai korang ni, maaflah. Aku ada kerja hakiki yang lebih utama. Hehe. Tapi, untuk kali ni aku memilih untuk simpan cerita aku di blog. Malas aku nak taip di Facebook, Threads, Twitter bagai. Ramai membaca. Kat sini orang dah jarang-jarang baca sekarang kan. hehe. I need my own space.

So, cerita dia, aku baru balik dari first appointment aku dengan Doktor Pakar Bariatric. Kome tahu dok apa tu bariatric? ala, yang potong perut tu. Nak bagi kurus. Hehe tapi untuk tahap aku ni, aku bukan buat untuk kosmetik ya. Memang aku buat ni untuk kesihatan. Aku perlu sihat! Gittew.

Kalau buat di swasta, sedia saja 30k, siap. Tapi kalau hang pilih untuk gomen, duit tu nombor 2. No 1 tau apa? Ya, no 1 hang kena ada kesabaran. Kalau hang jenis tak sabaq, cari duit dan buat di swasta. Sungguh.

So, kembali kepada topik asal. Mungkin panjang sikit la post kali ni eh. Masuk awal tahun 2026, dia macam timbul azam baru. Benda ni aku dah fikir lama dari raya dua tahun lepas masa makcik aku suruh aku buat bariatric. Lama aku berfikir. AKu buat research, aku buat perbandingan setiap hospital, aku tanya orang-orang yang dah pernah buat pembedahan ni, aku masuk support group. Aku tanya orang lama, aku study la semua pendek kata. Nak buat keputusan besar ni, mana boleh nafsi-nafsi. Hang kena fikir betul betul semua komplikasinya.

Masa kau tau bariatric ni boleh buat di hospital kerajaan, terus dia ada satu perasaan yang hang wajib buat lah. Nak sihat kan. Go for kerajaan la kan. Aku maca percaya sikit. Apa-apa jadi, aku masih di bawah tanggungan kerajaan. Kalau swasta, jadi apa apa tetap akan dihantar ke kerajaan.

Aku buat first appointment melalui Instagram saja tau. Hehe. Dari aku buat di Kota Kinabalu (KK), baik aku balik Semenanjung buat kat sana. Apa-apa jadi ada keluarga ku di sana tolong jagakan.  Ye dak, lagipun jauh lagi KK ba, Drive mahu 8-10 jam. Jalannya lagi.

Ini pun aku terbaca dekat salah satu group support bariatric ni. Dorang yang bagi cadangan. Lepas hang dah DM depa, tunggu saja kena reply. Kalau depa tak balas lagi, hang PM sekali lagi. Sibuk depa oi. Jangan menekan nekan okay?

Selepas dah dapat tarikh, hang kena pi jumpa depa semua kat hospital. Klinik Bariatric ni hanya dibuka setiap Khamis jam 2.00 petang (by appointment obviously). Memandangkan aku jauh di Sabah, aku deal sedia dengan depa untuk buat medical checkup di sini dan bawa pi tunjuk kat doktor saja. Plus, masa sampai pagi tu, aku disuruh buat endoskopi sedia.

Bab endoskopi ni nanti aku cerita lain part seterusnya aci dak?

Masa nak sampai ke giliran jumpa doktor pakar tu kan, sabo je la gais. Aku orang last habis hari tu tau. Jam 7.30 malam oi baru habis. Hang rasaaa? haha tu aku kata, nak buat kat gomen boleh tapi hang kena sabaq nombor 1. no 2 baru cari duit haha.

Mula-mula aku jumpa dietitian, dia akan go through semua diet lah. Dan aku cakap dah jangan paksa aku diet dah doktor. 35 tahun dah hidup kalau aku berjaya diet aku takkan sebesar ini, haha. Kemudian jumpa doktor perubatan, endokrine. Sini doktornya sangat membantu. Dia assist aku untuk buat next ujian dan syukur dia bilang aku takda kencing manis. Tinggal nak buat sleep study saja dulu.

Kemudian last baru aku jumpa doktor pakar. Kali ni aku dapat Dr Adrian. Dia saaaaaaangat la baik dan membantu. Sangat meyakinkan meh. Doktor cakap prosedur bariatric ni bukan jalan pintas untuk kurus, bukan untuk kosmetik semata-mata tapi ianya satu bentuk rawatan yang sangat memerlukan komitmen dan motivasi yang tinggi. Kita akan alami perubahan gaya hidup, pemakanan yang terkawal dan disiplin yang sangat konsisten. Sedikit sebanyak buat aku fikir keputusan ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan.

Oh ya, dia cadang untuk buat bypass dengan aku. Bukan sleeve. nah, apa benda pulak ni. Okay, next post aku cerita jenis-jenis bariatric! Jadi, aku dah sampai balik Lahad datu, Jumaat ni aku appointment dengan Unit ENT kat hospital. Nak buat sleep study. Doakan k! Komenlah hampa nak baca pasai apa lagi.

Dan, di sebalik keputusan yang aku buat ni mengajar aku bahawa perubahan besar bermula dengan langkah yang kecil. Keberanian nak memulakan sesuatu walaupun dalam keadaan yang ragu-ragu pada awalnya adalah satu bentuk kekuatan yang tak semua orang mampu lakukan. Aku harap, langkah pertama ni jadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam hidup aku.

Kena kurus. Ya, aku kena kurus.

Sebab apa?

Sebab dunia jahat pada perempuan gemuk. 😩


Suka Tak? Suka Kan? Kan? Cer Tinggal Komen Satu. :)

08 August 2025

Perjalanan Pulang Yang Tak Akan Pernah Dilupakan

Assalamualaikum.

Beberapa hari lepas, aku berada di Kuala Lumpur. Tiga orang murid aku menyertai pertandingan Felda Robo & Novate 2025. Suasana yang penuh debaran, satu pengalaman yang rakan-rakan guru aku siapkan.

Aku masih ingat detik-detik kemenangan sekolah kami. Macam nak meletup dada kami di luar gelanggang. Apabila nama sekolah kami disebut sebagai juara, tanpa sedar air mata gembira mengalir. Kami tidak pulang tangan kosong kali ini. Saat itu, segala penat dan kos yang dilaburkan terasa berbaloi. 


Usai majlis penutupan dan penyampaian hadiah, kami membawa murid-murid kami menikmati perjalanan di Kuala Lumpur menaiki train yang acapkali diceritakan dalam kelas. Malamnya, kami bersiap untuk pulang pada keesokan hari. Perjalanan jauh itu terasa ringan kerana hati masih dibuai kegembiraan. Aku fikir, malam nanti aku boleh berehat, menyimpan tenaga untuk hari-hari seterusnya.

Tapi sebaik sampai ke felda, telefon aku berdering. Suara di hujung talian bergetar, tersekat-sekat menahan sebak.

"Tot… Tok dah tak ada."

Aku tersentak. Dunia yang tadi terasa cerah tiba-tiba kelam. Pedal minyak yang ditekan, serasa tidak bergerak. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur hilang, diganti rasa terkejut dan kosong. Dan lebih sakit, aku tak dapat pulang ke kampung untuk tengok Tok buat kali terakhir.


Inilah dugaan anak rantau. Kena bersedia menerima berita yang menyakitkan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Dada aku rasa sebak. Perit. Nak menangis, tapi air mata tak keluar. Tahukah rasa sesak tu? Malamnya, aku sendiri di dalam bilik sambil merenung siling. Menunggu jiran dan rakan-rakan yang ada di kampung untuk memberi update tentang proses pengebumian Tok Kiah. Terima kasih kawan-kawan yang ada dari awal hingga selesai.

Kenangan bersama Tok Kiah mula datang satu-persatu. Hangat tangannya mengusap tangan aku buat kali terakhir semasa raya yang lepas masih terasa. Redup pandangan matanya masih ku ingat.



Aku hanya mampu mengirim doa dari jauh. Di saat keluarga di kampung mengiringan perjalanan terakhir Tok Kiah ke rumah barunya, aku mengiringinya dengan air mata dan bacaan Yasin jauh di Sabah ini. Ada perit yang tak dapat diungkap, perit menerima hakikat bahawa kadangkala, perpisahan datang sebelum kita sempat mengucapkan selamat tinggal. 

"Tidak ada kata-kata yang mampu menyembuhi luka situasi anak perantau yang macam ni. Semoga Allah terus kuatkan diri untuk berbakti demi anak bangsa dan agama."

Masih aku setia menatap gambar dan video kiriman dari kawan-kawan.

"Ya Allah, Terima kasih kerana telah pinjamkan Tok Kiah selama ini. Ampunkan dia, rahmati dia, lapangkan kuburnya. Temukan kami di syurgaMu nanti."

Sesiapa yang mengenali aku, dia pasti akan kenal Tok Kiah. Dialah orang yang membesarkan kami adik-beradik selama berapa puluh tahun kami hidup. Tok Kiah ada tempat yang istimewa dalam hati kami. Di saat mama dan arwah abah sedang berjuang untuk mencari rezeki untuk anak-anak mereka, Tok Kiah la insan yang menjaga kami sedar tapak kaki sebesar dua jari. Tok Kiah jugalah yang mencurahkan kasih sayangnya tanpa sempadan. Tok Kiah lah yang mengajarkan kami erti hidup.

Hidup ini penuh kejutan. Kadang-kadang kita berdiri di pentas kemenangan, kadang-kadang kita terduduk di lantai kehilangan. Kedua-duanya mengajar aku satu perkara: semua perjalanan akhirnya menuju pulang -- kepada Dia.

🌿

Dan begitulah hidup, satu perjalanan yang tidak pernah kita tahu di mana persinggahan terakhirnya. Hari ini kita memegang trofi, esok mungkin kita memegang nisan. Yang pasti, kedua-duanya hanya sementara. Yang kekal hanyalah bekal yang kita bawa untuk pulang ke tempat yang sebenar-benar pulang.

Jannah,
Bilik Guru.

Suka Tak? Suka Kan? Kan? Cer Tinggal Komen Satu. :)

29 July 2025

Apa Yang Berubah Sejak Aku Kali Terakhir Menulis

Assalamualaikum dan haluu!

Kali terakhir aku menulis di blog ini, aku masih seorang yang sedang mencari rentak dalam hidup, dalam kerja dan dalam diri sendiri. Sekarang, bila aku baca semula entri-entri lama, aku sedar satu perkara penting.

Aku dah banyak berubah.

Bukan berubah jadi orang lain. Tapi berubah jadi versi aku yang lebih faham diri sendiri. Masa menaip entri kali ni pun aku rasa berat. Taip, padam, taip padam. Tapi aku rasa, janganlah lagi padam. Taip saja! Hehe.

🌿 Aku Lebih Belajar Untuk Perlahan

Beberapa tahun ni hidup aku memang laju. Semua benda nak kejar: kerjaya, keluarga, pencapaian. Sampai satu tahap tu, aku mula tanya diri aku -- kenapa aku penat sangat? Dan dari situ aku mula sedar, tak salah untuk perlahan. Hidup ni bukan perlumbaan. Ada masa kita perlu berhenti sekejap, tarik nafas, dan teruskan semula dengan hati yang lebih tenang.

🌸 Aku Belajar Untuk Simpan Rasa, Tapi Tak Pendam

Sebelum ini, kalau ada apa-apa yang mengganggu, aku biar. Diam. Telan. Tapi lama-lama, ia jadi beban. Beban dalam diri aku. Aku jadi stress kumpul beban tu. Sekarang aku sedar, kadang-kadang, tak semua perlu dicerita. Tapi ada yang perlu ditulis. Dan aku lupa bahawa aku ada tempat untuk aku kembali iaitu blog ini yang jadi tempat aku menulis. Bukan untuk didengar orang, tapi untuk aku sendiri faham apa yang aku rasa.

📖 Aku Belajar Jadi Lebih Ringkas

Dulu aku selalu risau apa orang fikir. Sekarang, aku cuba belajar cukup itu cukup. Cukup rehat, cukup usaha, cukup sayang pada diri sendiri. Bukan semua benda kita perlu “buktikan”. Kadang cukup sekadar buat yang terbaik dalam diam. Orang tidak mahu tahu, mereka cuma mahu dengar apa yang mereka mahu. Ini realiti hidup sebab kadang aku pon malas mahu peduli. Aku sudah biasa jadi watak jahat dalam hidup orang lain.

Bila aku fikir balik, banyak sangat perubahan kecil yang berlaku tanpa aku sedar. Tapi bila duduk dan renung, rupanya semua itu menjadikan aku yang hari ini, lebih sedar, lebih kuat, lebih tenang. Siapa kawan, siapa lawan, siapa teman, siapa musuh.

Terima kasih kalau masih sudi singgah dan baca catatan ini.

Kalau hang pun sedang dalam fasa perubahan, peluk diri sendiri dulu. Kita semua sedang belajar. Dan tak apa kalau belum sempurna.

Jumpa lagi di entri seterusnya, insyaAllah 🌷

— Cik Jannah


Suka Tak? Suka Kan? Kan? Cer Tinggal Komen Satu. :)

27 July 2025

Aku Kembali... Dengan Cerita Baru

Assalamualaikum.

Dan hai semua! HEHE.

Lama sungguh blog ni menyepi. Bersawang dah aku rasa. Lama sungguh sampai aku pulak rasa kekok nak menulis semula. Sebenarnya lama dah aku berniat nak kembali menulis. Aku rasa doomed gila bila stop menulis. Tapi, hari ini aku pilih untuk kembali. Ecece. Kali ini dengan cerita baru.

Last entri aku, aku tulis tentang perjalanan jadi guru kontrak dan dilantik tetap. Konon lepastu aku nak istiqamah lah, tapi sudahnya dua tahun aku sidai korang. HAHA. Sorry na. Panjang perjalanan nak gapai cita-cita aku sekarang ni. Banyak pelajaran, banyak ujian dan banyak juga perkara yang aku simpan sendiri. Tiada tempat aku meluah kali kan?

Mungkin sebab tu aku rasa nak kembali menulis. Tempat asal aku berkongsi, tempat aku simpan suara hati yang jarang-jarang orang peduli. Biarpun tiada orang yang baca, biarpun tiada siapa yang peduli. Blogging is so outdated sekarang katanya. Banyak media sosial lain yang boleh meluah, bercerita dan fast response kan.

Hakikatnya, aku tahu bahawa dunia blog kini sudah tidak serancak dahulu. Tapi aku percaya, ada sesuatu yang tetap indah dalam menulis. Wahh, macam berkarat sudah aku punya kosakata ni.

Aku tak janji akan tulis selalu dan sekerap dulu. Tapi, aku janji (dengan diri aku) untuk menulis bila hati aku rasa aku perlu menulis. Tulis tangan malas, makna kata aku kena latih menaip la kan HEHE. Mungkin aku akan banyakkan berkongsi tentang hidup sebagai guru di pedalaman dan luar bandar atau mungkin tentang perjuangan yang orang tak nampak. Atau
mungkin juga sekadar coretan hati kecil aku.

Kalau hang baca sampai sini, Terima kasih na!

Kalau hang pernah baca blog ni sejak zaman blogger Koktan Loveshak, Cik Epal, DenaBahrin, FatinLiyana, Irene Nadia, Faiz Ibrahim, ketahuilah, hang memang lejen. HAHA. Kita sezaman, cuma depa lagi popular lah dari aku haha.

Kalau ini kali pertama hang sampai sini — salam kenal dari aku, Cik Jannah, seorang guru yang merantau di Sabah.

Doakan aku untuk terus rajin menulis.

ada ni, cuba sibuk sikit.

Jumpa lagi di entri seterusnya, insyaAllah 🌸

— Cik Jannah


Suka Tak? Suka Kan? Kan? Cer Tinggal Komen Satu. :)

22 August 2023

Diperakukan Lantikan Tetap oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tahniah!

 Assalamualaikum.

Masih ada kah yang membaca laman blog ni? Rasa semua sekarang pakat sibuk scroll Twitter, Facebook, Instagram saja kan? Twitter pun dah jadi X tau. Punyalah masa berlalu tanpa sedar.

Sampai ke sudahkan aku tak share perjalanan PDPP aku kat IPG Tawau tahun 2021. Sungguh gais. Aku dah taip tajuk dan muqaddimah, lepastu aku blank. Aku stop. Selepas setahun, aku rasa nak update semula.

Untuk makluman semua yang membaca, aku no more guru kontrak. Hehe. Aku sudah diperakukan tetap oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tinggal lagi nak sign pencen dan keluar KWSP. Haha. Banyaknya lah dokumen nak kena selesai. Lagi dahsyat daripada nak masuk kontrak tu hari. Serabut aku rasa. Tapi takpa, kita hadap.

Okay, aku stop kejap. aku dah mengantuk. haha bye!

Hello, aku sambung menaiplah. Tiba-tiba aku dapat idea. Aku tengah memerhati budak-budak tengah kelas robotik.

Panjang kisah aku kalau nak diingatkan semula. Nak sampai tahap ni, tak tahu la berapa banyak air mata kena lap, berapa banyak masa kena korban, berapa banyak sakit hati kena telan, berapa banyak duit keluar mengalir. Syukur, selepas 3 tahun 2 bulan, secara sah, aku sudah diperakukan tetap oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Alhamdulillah.

89 orang guru COS 2020 Lahad Datu melapor diri untuk jawatan tetap

Penyerahan surat penempatan oleh Timbalan PPD

Bermula dengan kisah temuduga nak jadi guru interim Tahfiz Dini pada 2018, pada masa sama, pergi interview untuk jawatan Pembantu Pengurusan Murid N19, tapi masa tu Allah rezekikan aku untuk dapat calon simpanan saja jadi cikgu. Sedikit kecewa masa tu, tapi aku lupa. Rupanya Allah nak hadiahkan jawatan guru DG41 walaupun berstatus kontrak dahulu.

Bulan Oktober 2019, aku lapor diri sebagai PPM N19, selama 7 bulan berkhidmat di SMK Jenjarom, dapat panggilan untuk lapor diri cikgu pada Jun 2020. Tapi kena berkorban ke Sabah. Ingat lagi, masa tu, PKP 1.0, segalanya 100% buat sendiri dengan rentas negeri tak boleh nya dan macam-macam lagi lah.

Antara manusia yang ada dengan aku sepanjang 3 tahun kami di sini.

4 Jun 2021, kena sambung ambik ikhtisas di IPG Tawau. Setahun lagi berhempas pulas aku belajar sambil mengajar. Allah saja yang tahu betapa macam orang gila, mananya kerja IPG, mananya lagi kerja di sekolah. Memang kena latu sungguh-sungguh. tapi aku happy.

Hari Akhir Kem BIG PDPP Ambilan Jun 2020 IPG Tawau di SCCA, Lahad Datu

Oktober 2022, ngam aku berkonvo selepas selesai belajar. Aku pon tak sangka aku boleh sambung belajar dan dapat lulus dengan kelas pertama lagi. Amazing! Haha. Selesai konvo, dok push untuk interview lagi.

Graduasi PDPP PAI IPG Tawau

Wajib interview SPP untuk jadi cikgu dalam erti kata yang sebenar. Syukur, bulan 3 dapat panggilan. Bulan 6 dapat keputusan interview, tadaaaaaaa 15 Ogos 2023, aku dah lapor diri sebagai guru tetap.

Selepas selesai temuduga SPP di Politeknik Kota Kinabalu

Sebenarnya, aku takdak benda nak cerita lagi. Nantilah aku kongsi pengalaman lain. Sekarang tengah sibuk urus eproper dulu. lepasni aku cuba cari satu tips ka apa untuk kongsi macam dulu-dulu okay?

Doakan segala urusan aku dipermudahkan tau! Mana tau ada doa kalian yang Allah angkat!


Suka Tak? Suka Kan? Kan? Cer Tinggal Komen Satu. :)

Oh!Belog